Kraf dan Permainan Tradisional

Kekayaan budaya etnik etnik di Sarawak bukan sahaja dapat dilihat melalui perayaan yang diraikan oleh penduduk Sarawak setiap tahun. Malah kekayaan budaya yang dimiliki penduduk Sarawak turut dicerminkan melalui hasil kraf dan permainan tradisi etnik di negeri Bumi Kenyalang ini. Inilah khazanah yang harus dilestarikan agar ia dapat diwarisi generasi yang akan datang. Usaha pendokumentasian kraf dan permainan tradisional etnik Sarawak yang dijalankan akan dapat menghasilkan beberapa produk untuk rekod dan simpanan bagi tujuan rujukan ilmiah selain daripada tujuan mempromosikan etnik di Sarawak. Hasil kajian juga bakal menyumbang kepada pemahaman masyarakat luar berkenaan keunikan etnik yang terdapat di Sarawak.

Program Rindok Sarawak yang julung kali diadakan ini telah membuka ruang untuk aktiviti pendokumentasian kraf dan permainan tradisional masyarakat Sarawak. Dalam usaha melestarikan budaya etnik di Sarawak, kumpulan Kraf dan Permainan Tradisional Rindok Sarawak telah berkesempatan untuk berkunjung ke Limbang dan menyaksikan Festival Makan Tahun yang mengetengahkan kekeyaan budaya masyarakat Kedayan di samping menjejak ke beberapa penempatan etnik Cina dan Melayu Sarawak untuk melihat sendiri penghasilan kraf yang semakin kurang dilakukan masyarakat yang sedia ada.

Pada siri Karnival Rindok Sarawak kali ini juga, permainan yang bakal ditonjolkan semasa pameran akan meliputi permainan Kuit – iaitu permainan tradisional masyarakat Kedayan di Limbang, yang wajar untuk dikongsikan keunikannya pada umum. Selain itu, permainan sewaktu zaman kanak-kanak generasi terdahulu sebelum kelahiran telefon pintar seperti batu Seremban, congkak dan tanglung turut dipamerkan. Antara kraf yang akan dipamerkan ialah khazanah objek tin atau ‘galvanised iron’ etnik Cina yang khusus di Sarawak dan selayah keringkam milik etnik Melayu Sarawak.

Siti Marina binti Kamil
Ketua Projek Dokumentasi Kraf dan Permainan Tradisional
Rindok Sarawak
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Malaysia Sarawak
ksmarina@unimas.my