Masakan & Makanan Tradisional

Kumpulan Masakan dan Makanan tradisional Sarawak adalah di bawah projek dokumentasi Karnival Rindok Sarawak 2018. Dokumentasi Program Masakan dan Makanan Tradisional ini akan mengetengahkan pelbagai jenis menu makanan tradisi etnik di seluruh bahagian di negeri Sarawak dan seterusnya mempromosikan produk makanan tersebut kepada masyarakat setempat.

Dokumentasi bagi Masakan dan Makanan Tradisional Sarawak telah bergerak sekitar bahagian Mukah, Betong, Asajaya, Kuching dan Lundu untuk mencari kelainan setiap resepi pelbagai kaum di Sarawak. Tidak dapat disangkal, melalui makanan jua dapat mempamerkan dan menyebarkan budaya pelbagai kaum di negeri Sarawak Bumi Kenyalang. Setiap daerah yang dijelajahi mempunyai hidangan atau menu yang tersendiri dan menampilkan keunikan tersendiri.

Selain mengenali kepelbagaian cara masakan dan menu tesendiri, melalui program ini jua telah menemui pertembungan budaya masyarakat setempat dalam makanan. Gabungan sebeginilah yang dapat menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja unik dengan kepelbagaian etnik tetapi dengan hidangan pelbagai jenis makanan berbeza.

Pada siri Karnival Rindok ini, kumpulan Masakan dan Makanan Tradisional akan mempamerkan kepelbagaian makanan etnik di Sarawak. Malahan, pengunjung juga berkesempatan untuk melihat, mengenali dan merasai pelbagai jenis makanan yang akan dipamerkan kelak. Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti Pertandingan Memasak Kuih-Muih Tradisional Sarawak, Pertandingan Mengelim Karipap dan Kuiz Teka Nama Makanan. Melalui projek ini diharap dapat mengangkat makanan tersebut sebagai daya tarikan yang unik kepada masyarakat setempat dan pelancong khususnya dari luar negeri Sarawak. Sesungguhnya, melalui makanan jua masyarakat dapat disatukan dengan asimilasi serta perkongsian budaya yang unik.

Dayang Nurlisa Abang Zainal Abidin
Ketua Projek Dokumentasi Masakan dan Makanan Tradisional
Rindok Sarawak
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Malaysia Sarawak
azadnurlisa@unimas.my