Cerita Rakyat Sarawak

Kumpulan Cerita Rakyat Sarawak adalah di bawah projek dokumentasi Karnival Rindok Sarawak 2018. Dokumentasi Cerita Rakyat ini akan mempamerkan beberapa cerita rakyat dari pelbagai etnik di seluruh bahagian di negeri Sarawak dalam bentuk buku cerita kanak-kanak dan e-buku.

Kumpulan kami telah bergerak ke serata negeri Sarawak antaranya termasuk Miri, Saribas, Bau dan Kuching bagi mendokumentasikan cerita rakyat yang telah disampaikan dari turun-temurun dalam masyarakat setempat. Setiap kaum mempunyai cerita rakyat yang unik dan juga yang hampir sama dengan kaum-kaum lagi. Setiap cerita yang dikumpul kaya dengan nilai moral dan budaya kaum-kaum tersebut.

Selain itu, projek ini juga memberi peluang kepada anak tempatan bagi mengetengahkan bakat mereka melalui ilustrasi buku kanak-kanak yang dihasilkan. Buku-buku ini diharapkan agar dapat dijadikan bahan bacaan bagi pelajar sekolah agar cerita-cerita ini tidak akan dilupakan.

Pada Karnival Rindok Sarawak siri pertama ini, para pengunjung berpeluang untuk membaca buku-buku cerita rakyat ini sendiri serta menonton video tentang pendokumentasiannya. Aktiviti-aktiviti menarik lain termasuk persembahan drama dan mewarna. Diharapkan agar aktiviti-aktiviti ini menimbulkan minat generasi muda kepada cerita-cerita rakyat dari kaum-kaum di Sarawak.

Keezrawati Mujan Yusuf
Ketua Projek Dokumentasi Cerita Rakyat
Rindok Sarawak
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Malaysia Sarawak
ykeezrawati@unimas.my