Projek Dokumentasi

Karnival Rindok Sarawak yang julung kalinya dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak akan diadakan pada 8hb Disember, 2018 bertempat di Tebingan Waterfront, Kuching. Bertemakan “Budaya Mengeratkan Bangsa”, tujuan utama karnival ini ialah untuk mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian khazanah tradisional serta adat budaya kepelbagaian kaum di Sarawak.

Tunjang kepada Karnival Rindok Sarawak ialah projek dokumentasi di mana tiga cabang penyelidikan dan dokumentasi telah dilaksanakan iaitu;

Ketiga-tiga dokumentasi ini dijalankan dan menjadi tulang belakang kepada Karnival Rindok Sarawak kerana elemen seni makanan, kraf, permainan tradisional dan cerita rakyat merungkai kehidupan seharian yang amat dekat di hati masyarakat peribumi Sarawak. Dalam aliran masa yang deras dek rencah arus kemodenan, bersama perubahan gaya kehidupan yang begitu rancak, ketiga-tiga aspek ini masih utuh dan tidak lapuk dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Sarawak.

Dalam usaha untuk merekod dan mendokumentasikan cabang budaya ini, pasukan dokumentasi telah menjelajah di seluruh pelosok bumi Sarawak untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah, amalan-amalan tradisi dan juga meneliti perkembangan dan masa depan aspek-aspek tersebut. Pasukan dokumentasi telah merekod beberapa permainan tradisi yang kurang, atau mungkin tidak diketahui umum. Pasukan dokumentasi masakan dan makanan tradisional pula, mendapati wujudnya persamaan dalam persediaan dan hasilan seperti kuih muih di antara kaum-kaum etnik. Persamaan ini jelas merakamkan keeratan budaya dan bangsa rakyat Sarawak. Perbezaan dan kelainan pula mencerminkan keunikan dan kekayaan masyarakat Sarawak. Selain itu, pasukan dokumentasi cerita rakyat, melalui temu bual dan perbualan dengan masyarakat lama, telah berjaya mengumpul dan mengilustrasikan cerita-cerita rakyat yang lazim didengar dan juga hikayat-hikayat turun temurun yang tidak pernah didengar selama ini.

Semua penemuan dan dapatan dari penyelidikan ini akan dipamerkan dan dikongsikan bersama rakyat Sarawak pada Karnival Rindok Sarawak. Namun, ia tidak akan berakhir di sini sahaja. Berbagai projek susulan sudah dirangka dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Segala usaha murni ini mesti dilakukan dan kita harus cakna demi mempertahankan dan melestarikan legasi kaum etnik dan bangsa rakyat Sarawak.

Akhir kata,

Celorot, tongkol kuih asli,
Tumpik dicecah ngan gula apong;
Kamek rindok nyaga legasi,
Pusaka budaya khazanah agong.

Dr Monaliza Sarbini-Zin
Ketua Projek Pendokumentasian dan Pendigitalan Bahasa dan Budaya Sukuan Sarawak
Rindok Sarawak
Fakulti Bahasa dan Komunikasi
Universiti Malaysia Sarawak
szmonaliza@unimas.my