Home

Karnival Rindok Sarawak 2018

Karnival Rindok Sarawak yang akan diadakan pada 8 Disember 2018 di Waterfront, Kuching menanti kehadiran anda! Apa yang boleh diharapkan pada penghujung program Rindok Sarawak ini?

Mulakan hari anda dengan sedikit senaman yang menyeronokkan bersama Elena Zin! Bawa bersama tuala dan kasut sukan dan temui kami di kawasan persisiran sungai Kuching untuk berzumba!

Selepas berzumba, sensasikan deria rasa anda mencuba makanan semasa demonstrasi dan pertandingan masakan Sarawak. 

Hujung minggu anda yang menarik diteruskan lagi dengan ‘dance battle’ oleh Kuching Youth Jam!

Berehat sambil berjalan-jalan di sekitar kawasan karnival dan lawati gerai-gerai pameran serta jualan. T-shirt Rindok juga akan dijual, nantikan kami!

Meriahkan malam anda dengan menyaksikan persembahan oleh Danceversity dan konsert daripada artis yang dijemput khas untuk anda.

Semua ini akan berlangsung di Waterfront, Kuching. Jangan lepaskan peluang keemasan ini! 

Mendaki di Bung Jagoi

Perjalanan ke Bung Jagoi dari ibu kota Kuching mengambil masa lebih kurang satu jam. Sebaik sampai disana, pendaftaran diri perlu dibuat sebagai langkah kecemasan sekiranya apa-apa berlaku. Terletak di kawasan Bau, Bung Jagoi merupakan sebuah kawasan perkampungan orang Dayak Bidayuh. Bung Jagoi terkenal dengan perkampungan di atas pergunungan. Jejak dari bawah gunung dilengkapi dengan lebih 400 anak tangga. Melalui anak tangga ini, perjalanan ke puncak ditemani oleh bunyi kicauan burung dan desiran daun-daun. Jalan ke puncak Bung Jagoi adalah mudah dan bersih. Setiap peringkat Bung Jagoi mempunyai nama yang berbeza-beza mengikut cerita dan mitos yang wujud pada setiap peringkat. Contohnya seperti nama Ban Boya, yang mempunyai sejarah penampakan buaya di gunung seperti diceritakan oleh nenek moyang ketua pendaki Bung Jagoi yang merupakan penduduk asli Bung Jagoi.

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa keajaiban yang dapat dilihat semasa perjalanan ke puncak Bung Jagoi. Tempat berehat pertama semasa mendaki Bung Jagoi dijumpai setelah lebih kurang sejam mendaki. Pendakian yang agak mudah ini boleh memenatkan bagi orang yang jarang mendaki gunung. Perhentian mendaki pertama ini dinamakan Bung Tesen. Keistimewaan tempat ini ialah pada waktu yang tertentu, burung kenyalang akan diperhati melintasi langit yang dapat dilihat dari tempat hentian pertama. Seterusnya, tempat hentian kedua juga tidak kurang ajaibnya. Dengan hanya menyambung perjalanan kira-kira 15 minit, pendaki akan sampai ke Ayam Bikubu. Tempat ini merupakan kubu pada zaman peperangan suatu ketika dahulu. Kewujudan air daripada gunung yang sentiasa mengalir menjadikan Ayam Bikubu tempat yang strategik sebagai kubu perang kerana sumber airnya. Pada hari ini, air di Ayak Bikubu masih mengalir dan pendaki boleh menghilangkan dahaga dengan air tersebut.

Pendakian ke puncak Bung Jagoi diteruskan lagi selama 10 minit dan destinasi yang ditunggu dapat dicapai. Perkampungan orang Dayak Bidayuh. Perasaan pertama yang terlintas tatkala melihat perkampungan ini ialah perasaan kagum. Kawasan masuk kampung ini dihiasi dengan bunga-bunga pelbagai warna. Merah, kuning, oren, merah jambu. Rumah-rumah di kampung ini nampak terjaga walaupun binaan nampak agak berusia. Tempat pertama yang ditujui ialah kedai kraftangan Bung Jagoi. Kraf hasil kreatif pelancong dan penduduk Bung Jagoi dipamerkan untuk dijual di kedai ini. Manik berkilauan dan botol madu tersusun rapi. Usai mengelap peluh dimuka dan meletakkan beg disebuah rumah tumpang, perjalanan ke puncak hanya mengambil masa 15 minit. Puncak Bung Jagoi merekodkan ketinggian sebanyak 299 meter. Kemudian, perjalanan diteruskan lagi ke tempat pemandangan di Bung Jagoi. Tempat-tempat yang terkenal di Sarawak seperti Serikin dan juga sempadan Malaysia-Indonesia dapat dilihat daripada Bung Jagoi. Langit yang cerah di kawasan sekeliling Bung Jagoi menjadikan pemandangannya lebih dinikmati.

Tetamu dijamu makanan ruji orang Dayak Bidayuh. Selesai makan dan bersiar-siar di perkampungan atas gunung Bung Jagoi, perjalanan ke kaki gunung terasa ringkas. Bung Jagoi semestinya menjadi destinasi pilihan pelancong.


Pengalaman oleh:

Nursyasya Irdina Mohd Shahrom
Shaida Salwi
Nur Shazreena binti Ali

Berakit di Annah Rais

Rumah panjang Annah Rais yang kami kunjungi terletak kira-kira 50km dari Kuching dan merupakan perkampungan Bidayuh. Rumah panjang ini memulakan pembinaan dengan 3 pintu dan bertambah menjadi 146 pintu. Rumah ini masih lagi mengekalkan konsep rumah panjang tetapi mereka sudah lama mendapat bekalan elektrik dan air bersih. Terdapat pameran seni kraftangan dan jualan makanan tempatan seperti kerepek ubi.

Aktiviti yang popular untuk dilakukan oleh pengunjung Annah Rais ialah berakit yang pada asalnya digunakan sebagai alat pengangkutan dan untuk menangkap ikan di sekitar kawasan kampung tersebut. Sekarang, Puan Siti Mayut merupakan satu-satunya individu yang membuat rakit di rumah panjang tersebut. Puan Siti menerangkan bahawa terdapat pelbagai jenis buluh untuk pelbagai kegunaan. Contohnya, buluh untuk membuat kayu api tidak sama dengan buluh yang digunakan untuk memasak nasi. Begitu juga buluh untuk membuat tandu. Kebanyakan penduduk di Annah Rais menanam sendiri buluh di tanah kepunyaan mereka. Ini disebabkan buluh penting dalam kehidupan mereka. Pada masa dahulu di mana papan sukar mereka perolehi, mereka menggunakan buluh sebagai lantai.

Puan Siti menunjukkan cara membelah dan meraut buluh menggunakan parang. Beliau juga mengajar cara membuat tali menggunakan buluh yang sederhana besar di mana buluh tersebut dipotong, dibelah dan dibuang isi. Kulitnya kemudian disiat untuk dijadikan tali. Seterusnya, beliau menunjukkan cara mengikat buluh untuk dijadikan rakit. Dasar rakit menggunakan buluh yang mempunyai diameter yang agak besar dan biasanya buluh punai digunakan. Puan Siti sudah lebih 10 tahun melakukan kerja membuat rakit kerana beliau mula mengikut ibu bapa beliau merakit sejak kecil lagi.

Pengalaman merakit di Annah Rais merupakan pengalaman yang sangat berharga. Bermula dengan belajar mengikat rakit dan mengawal rakit di kawasan air deras, hingga ke belajar kepelbagaian jenis buluh dan kegunaan. Keindahan alam semulajadi juga dinikmati dan ini mengeratkan lagi hubungan dengan alam yang biasanya dilupakan terutama bagi mereka yang biasa dengan arus pemodenan.

Pengalaman oleh:

Nabil Fikri bin Jusri
Ayu Wandiera Faziera binti Hasbi
Omar Sufian bin Zulkiflee
Sharifah Katikah binti Wan Samsudin
Mohamad Alif Farizal bin Ahmad Fuad
Balveen Kaur Sokhal A/P Jasbir Singh
Siti Rahmah binti Mohamad Husaini

Ceritera di Mukah

Sekumpulan pelajar BA Linguistik tahun kedua dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah ke Mukah sewaktu cuti semester yang lalu atas tujuan memenuhi kehendak tugasan namun bak kata pepatah, sambil menyelam, sambil minum air. Selain mengumpul data, pelajar-pelajar berikut telah berpeluang menikmati keindahan semulajadi dan mendalami budaya kehidupan masyarakat Melanau di Mukah.

Berada di Mukah adalah cinta pandang pertama untuk mereka semua yang pertama kali berkunjung ke sana. Suatu pengalaman yang sudah tentunya tidak akan luput dari ingatan. Para pelajar tersebut berkunjung ke sebuah inap desa di Tanjung Pedada dimana mereka disambut ramah oleh tuan rumah yang dipanggil mesra sebagai Kak Jijah. Kak Jijah sangat baik hati kerana telah membawa mereka semua ke Pasar Lama Mukah yang hanya terletak diseberang sungai dari kawasan inap desanya.

Selepas membeli bahan-bahan yang sepatutnya di pasar, para pelajar berikut terutamanya yang berasal dari Semenanjung berpeluang membuat umai buat pertama kali! Rupa-rupanya prosesnya tidaklah begitu sukar. Ikan-ikan yang telah dicencang halus di pasar tadi digaul dengan perahan limau nipis beserta garam dan keluarga bawang. Rasanya sedap dan segar sekali sehinggakan makan nasi bertambah-tambah!

Siapa yang tak kenal ulat sagu (butod)?

Pertama kali melihat ulat-ulat ini didepan mata, merekot dan menggeliat dengan lincahnya dalam bekas, terasa bagai hendak pitam. Sungguh berdebar-debar sewaktu ingin mencuba, terasa seperti dalam Fear Factor pula namun selepas digoreng dengan garam ternyata rasanya agak sedap jugalah! Badannya rasa seperti kulit ayam manakala kepalanya rasa seperti kekacang…. Ramai penduduk tempatan kata sepatutnya makan bahagian badannya saja kerana kepalanya ‘sik nyaman’. Butod boleh dimakan begitu sahaja (bagi mereka yang berani) ataupun dimasak berkuah.
Begitulah sedikit pengalaman di Mukah, betul lah orang-orang tua kata, ‘tak kenal maka tak cinta’. Jika diberi peluang, memang akan ke Mukah lagi sekali… mungkin kali yang berikut akan ke pantai untuk main tibow! Ataupun turut serta bersama orang tempatan menyambut pesta Kaul!

Pengalaman oleh:

Shaida Salwi
Nursyasya Irdina Mohd Shahrom
Walidah Ashadi
Alya Qamarina Rohaimi
Nadia Husna Yusuf Anthony
Niniefadzillea Iswandi

Tentatif Program

Karnival Rindok Sarawak 2018
Kuching Waterfront
8 Disember 2018

Masa Acara dan Aktiviti
7.30amAcara Zumba bersama ZIN Elena
10.00am – 12.00pm
Pameran, Demonstrasi, Tutorial dan Pertandingan
Projek Dokumentasi Cerita-Cerita Rakyat
Projek Dokumentasi Makanan dan Masakan Tradisional
Projek Dokumentasi Kraftangan dan Permainan Tradisional
12.00pmPenyampaian Hadiah Pertandingan Memasak
2.00pm – 4.00pmPameran, Demonstrasi dan Tutorial diteruskan
Dance Battle bersama KYJ
8.00pmKetibaan Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg  
Ketua Menteri Sarawak  
Lawatan ke tapak pameran
Persembahan Pembukaan 
Nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku, Unimasku Gemilang 
Persembahan Sape dari Cik Normaria 
Persembahan orkestra dari Music Asgard  
Persembahan Lagu Tema Rindok Sarawak 
Ucapan
Ucapan aluan oleh   
YBhg Prof Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)
Universiti Malaysia Sarawak  

Ucapan perasmian oleh   
Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg  
Ketua Menteri Sarawak  
Acara Perasmian Rindok Sarawak 2018   
Persembahan Montaj dan Pelancaran Laman Web Rasmi Rindok Sarawak  
Penyampaian sijil kepada pemenang Lagu Tema  
Penyampaian cenderahati kepada Ketua Menteri Sarawak 
Sesi bergambar 


Persembahan Khas
Tarian etnik dari Gemalai Kenyalang Muhibbah  
Tarian dari Danceversity  
9.30pmPersembahan Konsert
Pinanak Sentah
Gabriel Fairuz Louis
Asyraf Hardy
NanaSheme
11.00pmAcara Tamat dan Bersurai