Mendaki di Bung Jagoi

Perjalanan ke Bung Jagoi dari ibu kota Kuching mengambil masa lebih kurang satu jam. Sebaik sampai disana, pendaftaran diri perlu dibuat sebagai langkah kecemasan sekiranya apa-apa berlaku. Terletak di kawasan Bau, Bung Jagoi merupakan sebuah kawasan perkampungan orang Dayak Bidayuh. Bung Jagoi terkenal dengan perkampungan di atas pergunungan. Jejak dari bawah gunung dilengkapi dengan lebih 400 anak tangga. Melalui anak tangga ini, perjalanan ke puncak ditemani oleh bunyi kicauan burung dan desiran daun-daun. Jalan ke puncak Bung Jagoi adalah mudah dan bersih. Setiap peringkat Bung Jagoi mempunyai nama yang berbeza-beza mengikut cerita dan mitos yang wujud pada setiap peringkat. Contohnya seperti nama Ban Boya, yang mempunyai sejarah penampakan buaya di gunung seperti diceritakan oleh nenek moyang ketua pendaki Bung Jagoi yang merupakan penduduk asli Bung Jagoi.

Selain daripada itu, terdapat juga beberapa keajaiban yang dapat dilihat semasa perjalanan ke puncak Bung Jagoi. Tempat berehat pertama semasa mendaki Bung Jagoi dijumpai setelah lebih kurang sejam mendaki. Pendakian yang agak mudah ini boleh memenatkan bagi orang yang jarang mendaki gunung. Perhentian mendaki pertama ini dinamakan Bung Tesen. Keistimewaan tempat ini ialah pada waktu yang tertentu, burung kenyalang akan diperhati melintasi langit yang dapat dilihat dari tempat hentian pertama. Seterusnya, tempat hentian kedua juga tidak kurang ajaibnya. Dengan hanya menyambung perjalanan kira-kira 15 minit, pendaki akan sampai ke Ayam Bikubu. Tempat ini merupakan kubu pada zaman peperangan suatu ketika dahulu. Kewujudan air daripada gunung yang sentiasa mengalir menjadikan Ayam Bikubu tempat yang strategik sebagai kubu perang kerana sumber airnya. Pada hari ini, air di Ayak Bikubu masih mengalir dan pendaki boleh menghilangkan dahaga dengan air tersebut.

Pendakian ke puncak Bung Jagoi diteruskan lagi selama 10 minit dan destinasi yang ditunggu dapat dicapai. Perkampungan orang Dayak Bidayuh. Perasaan pertama yang terlintas tatkala melihat perkampungan ini ialah perasaan kagum. Kawasan masuk kampung ini dihiasi dengan bunga-bunga pelbagai warna. Merah, kuning, oren, merah jambu. Rumah-rumah di kampung ini nampak terjaga walaupun binaan nampak agak berusia. Tempat pertama yang ditujui ialah kedai kraftangan Bung Jagoi. Kraf hasil kreatif pelancong dan penduduk Bung Jagoi dipamerkan untuk dijual di kedai ini. Manik berkilauan dan botol madu tersusun rapi. Usai mengelap peluh dimuka dan meletakkan beg disebuah rumah tumpang, perjalanan ke puncak hanya mengambil masa 15 minit. Puncak Bung Jagoi merekodkan ketinggian sebanyak 299 meter. Kemudian, perjalanan diteruskan lagi ke tempat pemandangan di Bung Jagoi. Tempat-tempat yang terkenal di Sarawak seperti Serikin dan juga sempadan Malaysia-Indonesia dapat dilihat daripada Bung Jagoi. Langit yang cerah di kawasan sekeliling Bung Jagoi menjadikan pemandangannya lebih dinikmati.

Tetamu dijamu makanan ruji orang Dayak Bidayuh. Selesai makan dan bersiar-siar di perkampungan atas gunung Bung Jagoi, perjalanan ke kaki gunung terasa ringkas. Bung Jagoi semestinya menjadi destinasi pilihan pelancong.


Pengalaman oleh:

Nursyasya Irdina Mohd Shahrom
Shaida Salwi
Nur Shazreena binti Ali