Ceritera di Mukah

Sekumpulan pelajar BA Linguistik tahun kedua dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah ke Mukah sewaktu cuti semester yang lalu atas tujuan memenuhi kehendak tugasan namun bak kata pepatah, sambil menyelam, sambil minum air. Selain mengumpul data, pelajar-pelajar berikut telah berpeluang menikmati keindahan semulajadi dan mendalami budaya kehidupan masyarakat Melanau di Mukah.

Berada di Mukah adalah cinta pandang pertama untuk mereka semua yang pertama kali berkunjung ke sana. Suatu pengalaman yang sudah tentunya tidak akan luput dari ingatan. Para pelajar tersebut berkunjung ke sebuah inap desa di Tanjung Pedada dimana mereka disambut ramah oleh tuan rumah yang dipanggil mesra sebagai Kak Jijah. Kak Jijah sangat baik hati kerana telah membawa mereka semua ke Pasar Lama Mukah yang hanya terletak diseberang sungai dari kawasan inap desanya.

Selepas membeli bahan-bahan yang sepatutnya di pasar, para pelajar berikut terutamanya yang berasal dari Semenanjung berpeluang membuat umai buat pertama kali! Rupa-rupanya prosesnya tidaklah begitu sukar. Ikan-ikan yang telah dicencang halus di pasar tadi digaul dengan perahan limau nipis beserta garam dan keluarga bawang. Rasanya sedap dan segar sekali sehinggakan makan nasi bertambah-tambah!

Siapa yang tak kenal ulat sagu (butod)?

Pertama kali melihat ulat-ulat ini didepan mata, merekot dan menggeliat dengan lincahnya dalam bekas, terasa bagai hendak pitam. Sungguh berdebar-debar sewaktu ingin mencuba, terasa seperti dalam Fear Factor pula namun selepas digoreng dengan garam ternyata rasanya agak sedap jugalah! Badannya rasa seperti kulit ayam manakala kepalanya rasa seperti kekacang…. Ramai penduduk tempatan kata sepatutnya makan bahagian badannya saja kerana kepalanya ‘sik nyaman’. Butod boleh dimakan begitu sahaja (bagi mereka yang berani) ataupun dimasak berkuah.
Begitulah sedikit pengalaman di Mukah, betul lah orang-orang tua kata, ‘tak kenal maka tak cinta’. Jika diberi peluang, memang akan ke Mukah lagi sekali… mungkin kali yang berikut akan ke pantai untuk main tibow! Ataupun turut serta bersama orang tempatan menyambut pesta Kaul!

Pengalaman oleh:

Shaida Salwi
Nursyasya Irdina Mohd Shahrom
Walidah Ashadi
Alya Qamarina Rohaimi
Nadia Husna Yusuf Anthony
Niniefadzillea Iswandi