Berakit di Annah Rais

Rumah panjang Annah Rais yang kami kunjungi terletak kira-kira 50km dari Kuching dan merupakan perkampungan Bidayuh. Rumah panjang ini memulakan pembinaan dengan 3 pintu dan bertambah menjadi 146 pintu. Rumah ini masih lagi mengekalkan konsep rumah panjang tetapi mereka sudah lama mendapat bekalan elektrik dan air bersih. Terdapat pameran seni kraftangan dan jualan makanan tempatan seperti kerepek ubi.

Aktiviti yang popular untuk dilakukan oleh pengunjung Annah Rais ialah berakit yang pada asalnya digunakan sebagai alat pengangkutan dan untuk menangkap ikan di sekitar kawasan kampung tersebut. Sekarang, Puan Siti Mayut merupakan satu-satunya individu yang membuat rakit di rumah panjang tersebut. Puan Siti menerangkan bahawa terdapat pelbagai jenis buluh untuk pelbagai kegunaan. Contohnya, buluh untuk membuat kayu api tidak sama dengan buluh yang digunakan untuk memasak nasi. Begitu juga buluh untuk membuat tandu. Kebanyakan penduduk di Annah Rais menanam sendiri buluh di tanah kepunyaan mereka. Ini disebabkan buluh penting dalam kehidupan mereka. Pada masa dahulu di mana papan sukar mereka perolehi, mereka menggunakan buluh sebagai lantai.

Puan Siti menunjukkan cara membelah dan meraut buluh menggunakan parang. Beliau juga mengajar cara membuat tali menggunakan buluh yang sederhana besar di mana buluh tersebut dipotong, dibelah dan dibuang isi. Kulitnya kemudian disiat untuk dijadikan tali. Seterusnya, beliau menunjukkan cara mengikat buluh untuk dijadikan rakit. Dasar rakit menggunakan buluh yang mempunyai diameter yang agak besar dan biasanya buluh punai digunakan. Puan Siti sudah lebih 10 tahun melakukan kerja membuat rakit kerana beliau mula mengikut ibu bapa beliau merakit sejak kecil lagi.

Pengalaman merakit di Annah Rais merupakan pengalaman yang sangat berharga. Bermula dengan belajar mengikat rakit dan mengawal rakit di kawasan air deras, hingga ke belajar kepelbagaian jenis buluh dan kegunaan. Keindahan alam semulajadi juga dinikmati dan ini mengeratkan lagi hubungan dengan alam yang biasanya dilupakan terutama bagi mereka yang biasa dengan arus pemodenan.

Pengalaman oleh:

Nabil Fikri bin Jusri
Ayu Wandiera Faziera binti Hasbi
Omar Sufian bin Zulkiflee
Sharifah Katikah binti Wan Samsudin
Mohamad Alif Farizal bin Ahmad Fuad
Balveen Kaur Sokhal A/P Jasbir Singh
Siti Rahmah binti Mohamad Husaini